KUALA LUMPUR, 7 Ogos -- Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan penubuhan parti baharu yang belum diberikan nama rasmi.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa parti baharu itu tidak terikat atau menyokong Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, keputusan menubuhkan parti baharu dibuat selepas hilang kepercayaan kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan parti berkenaan memecat keahliannya bersama lima lagi pemimpinnya.

Dr Mahathir berkata, parti baharu ini akan mendukung dasar BERSATU dahulu, selain akan bertanding sebagai blok bebas dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Kita akan umumkan (nama parti) dalam masa terdekat. Kita harap ROS akan persetujui (penubuhan) parti baru ini.

"Oleh kerana kita sekarang ini menghadapi masalah tidak dapat bergerak dalam parti, melainkan bebas, tetapi kita ingin tubuhkan parti baharu untuk ganti (Bersatu).

"Bukan niat kami nak ada banyak sangat parti politik dalam kalangan orang Melayu. Dulu sudah ada UMNO, PAS, kemudian Bersatu.

"Sebabnya kerana UMNO, PAS dan Bersatu sudah lari dari perjuangan asal berkenaan politik orang Melayu," katanya pada sidang media di Bangunan Yayasan Al-Bukhary, hari ini.

Dr Mahathir berkata, Ahli Parlimen Jerlun yang juga anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan dilantik sebagai Presiden parti baharu itu.

Katanya, parti baharunya tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebaliknya menyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam PRN berkenaan.

Selesai sidang media ini, Dr Mahathir dijangka menghadiri satu program di Bangsar, dihadiri ahli dan pemimpin akar umbi BERSATU yang menyokongnya, bagi menyampaikan amanat mengenai tujuan penubuhan parti baru berkenaan.

Difahamkan pada majlis berkenaan, ramai ahli dan pemimpin BERSATU akar umbi yang mengumumkan keluar parti dan menyertai parti baharu dinaungi Dr Mahathir.

Dr Mahathir dan beberapa yang lain pada 9 Jun lalu mengemuka saman terhadap Muhyiddin, tiga pemimpin BERSATU dan ROS bagi mencabar keputusan pemecatan mereka dari jawatan masing-masing dalam parti itu.

Pemimpin yang lain termasuk Mukhriz, bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dan bekas Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya.