KUALA LUMPUR, 8 Ogos -- Kerajaan Negeri Perlis telah bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (PKPD Bersasar) di daerah Sanglang.
Dalam satu kenyataan, perintah itu hanya dikenakan di dua kawasan iaitu di Kampung Kuala Sanglang dan kampung Tanah Timbul.
Keputusan itu dibuat menerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri Perlis berkenaan COVID-19.
PKPD Bersasar itu akan berkuatkuasa selama 28 hari, mulai hari ini pada jam 10 malam sehingga 4 September kelak.
"Pelaksanaan PKPD Bersasar ini dibuat selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mengambil kira bilangan kes aktif COVID-19 di kawasan berkenaan.
"Pengisytiharan ini dibuat bagi membolehkan aktiviti pengesanan yang telah dimulakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perlis sejak 7 Ogos dilaksanakan dengan lebih berkesan di kedua-dua kampung terbabit," menurut kenyataan tersebut.
Kerajaan negeri juga menyeru penduduk di kawasan yang terlibat supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa kerana pelaksanaan PKPD Bersasar akan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) PKPP sedia ada.
“Pelaksanaan SOP PKPP adalah dengan tambahan kepada pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) di setiap laluan keluar masuk ke kawasan PKPD Bersasar.
“Orang awam yang berada di luar kawasan PKPD Bersasar tidak dibenarkan masuk kecuali mereka yang terlibat dengan memberikan perkhidmatan perlu seperti makanan, air, perubatan, kedai runcit dan perbankan,” jelasnya.
Berhubung arahan kuarantin, penduduk yang telah menjalani saringan COVID-19 terlibat diminta supaya mematuhi perintah tersebut.
“Sepanjang tempoh arahan kuarantin di rumah, ketua isi rumah dibenarkan untuk keluar dari rumah bagi membeli barang keperluan harian sementara menunggu seluruh ahli isi rumah memperoleh arahan pelepasan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.
“Arahan pelepasan akan dikeluarkan setelah keputusan ujian saringan COVID-19 didapati negatif yang mana keputusan boleh diperoleh tidak melebihi empat hari dari tarikh saringan dilakukan,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, kerajaan negeri amat prihatin kesulitan yang dialami dan akan menyalurkan bantuan kepada penduduk terlibat.
Semalam, media melaporkan 10 ahli keluarga terdekat tinggal bersama disahkan positif COVID-19 di Sanglang yang dikaitkan dengan kluster PUI Sivagangga.
Susulan itu, dua sekolah di daerah itu telah diarahkan supaya ditutup selama tujuh hari bermula Isnin ini.
Sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sanglang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang.
Langkah itu dibuat sebagai pencegahan penularan COVID-19 berikutan dua pelajar di sekolah terbabit disahkan positif semalam. - SuaraKini