KUALA LUMPUR, 16 Ogos -- Dua pekerja sebuah restoran di sini yang tular semalam disahkan positif COVID-19.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, kedua-dua pekerja tersebut merupakan warganegara asing.
Jelas beliau, Pejabat Kesihatan Daerah akan menjalankan pengesanan kes secara aktif terhadap pelanggan restoran terbabit.
"Kedua-dua kes ini adalah merupakan saringan rawak di tempat kerja oleh Pejabat Kesihatan Daerah di mana ianya telah melibatkan pekerja kedai makan.
"Telah tular di media sosial notis penutupan kedai makan tersebut dan menimbulkan sedikit keresahan di kalangan pelanggan.
"Pihak Pejabat Kesihatan Daerah akan menjalankan pengesanan kes secara aktif di mana siasatan lanjut dan persampelan akan diambil. Kedai makan tersebut telah ditutup buat sementara waktu bagi tujuan pembersihan dan nyahkuman," kata Dr. Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, pemilik rangkaian restoran, Datuk Jawahar Ali Taib Khan dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya akur dengan notis penutupan selama 14 hari yang dikenakan ke atas cawangan restoran di Taman Sri Rampai di ibu negara.
"Pengurusan restoran sentiasa peka dengan apa juga keadaan persekitaran mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) Mac lalu," kata Jawahar.