KUCHING, 1 Ogos -- Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat persekutuan walaupun UMNO tidak bergabung dengan PN.
"GPS adalah GPS. GPS menyokong kerajaan persekutuan, jadi itu dipanggil PN+GPS, ” kata Abang Johari selepas merasmikan sambutan Hari Bandaraya Kuching ke-32 di sini, pagi tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini bahawa parti itu tidak akan menyertai PN.
Ditanya sama ada GPS akan bergabung dengan Muafakat Nasional (MN) untuk mengikuti jejak langkah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau berkata, “Bagaimana anda tahu Bersatu telah bergabung. Adakah ia disahkan? Saya tidak tahu."
Katanya, beliau tidak tahu banyak perkara mengenai MN dan beliau menegaskan beliau hanya tahu mengenai GPS.
"Fikiran saya adalah tentang COVID-19 sekarang. Kita harus berjaga-jaga dengan COVID-19 ini kerana ia serius. Kuching kini menjadi zon merah. Jadi fikiran saya bukan tentang politik atau MN” tambah Abang Johari.
Mengenai perkembangan politik di negeri jiran Sabah, Abang Johari berkata beberapa ahli politik di Sarawak tidak mengamalkan tradisi "katak melompat".
"Kami 'sik lompat' (kami tidak melompat parti)," tambahnya.
Pada Khamis lalu, ketua menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah beberapa jam selepas bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa blok pembangkang telah memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.