PUTRAJAYA, 6 Ogos -- Bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mempunyai hubungan dengan projek terowong bawah laut.
Menurut SPRM, pihak mereka telah mendapat izin daripada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk mendakwa Guan Eng esok dan pada Isnin, 10 Ogos.
Beliau akan didakwa esok atas kesalahan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 di Mahkamah Khas Rasuah, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada jam 9 pagi.
Pada Isnin, 10 Ogos, beliau akan didakwa atas kesalahan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada jam 9 pagi.
Sementara itu, Guan Eng juga bakal didakwa bagi kes berlainan iaitu kesalahan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 pada 11 Ogos di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang.
"SPRM turut mendapat izin mendakwa daripada Peguam Negara untuk YB Lim Guan Eng bagi kes berlainan...," menurut kenyataan SPRM.
Pada 7 Julai lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hadir ke SPRM Pulau Pinang untuk memberi keterangan bagi projek berkenaan.
Pada 3 Julai, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya dalam fasa akhir menyiapkan terhadap siasatan projek itu.
Katanya, kertas siasatan dijangka lengkap dalam tempoh dua ke tiga minggu lagi sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya tindakan lanjut.
Projek terowong sepanjang 7.2 kilometer itu, yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai, adalah termasuk di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.