KUALA LUMPUR, 15 Ogos -- Bersatu mengumumkan keahlian 282 ahli parti itu di seluruh negara terhenti serta merta kerana melanggar Fasal 10.2- Fasal 10.2.2, 10.2.3, dan 10.2.4 perlembagaan parti.

Laporan Berita Harian hari ini menyiarkan notis pemberitahuan itu yang disahkan Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya bertarikh 14 Ogos.

Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Selangor turut disenaraikan dalam notis itu, antaranya ADUN Batang Kali, Harumaini Omar, ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli dan ADUN Kuang, Sallehuddin Amiruddin.

Beberapa pemimpin lain yang lantang membantah tindakan Bersatu membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) turut berada dalam senarai itu, antaranya ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi dan Ulya Aqamah Husamudin yang keluar parti Ahad lalu.

Bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Abu Bakar Yahya turut dilucutkan keahliannya serta-merta.

Sementara itu, ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, jumlah ahli Bersatu yang keluar parti lebih ramai daripada senarai ahli yang diberhentikan keahlian oleh parti itu.

Beliau mendakwa lebih 50,000 ahli Bersatu sudah meninggalkan parti itu.

“Sebenarnya bukan 282 ahli saja yang dilucutkan keahlian, satu bahagian saja lebih 300 hingga 500 orang sudah keluar dari Bersatu. Contohnya, di Kuala Selangor sendiri yang sudah keluar parti lebih daripada 500 orang buat masa ini.

“Selebihnya, mereka tunggu masa untuk isi borang keluar parti. Soal hendak pecat atau keahlian terlucut serta-merta ini tidak wujud kerana ramai di antaranya sudah berhenti awal sebelum dipecat akibat hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti," katanya.