Kemenangan besar BN bukti rakyat tolak strategi parti Dr M - Najib

TANJUNG MALIM, 30 Ogos -- Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim sebagai bukti strategi serangan peribadi yang digunakan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), parti baru ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad mula ditolak rakyat.

“Apa yang mereka lakukan ditolak balik oleh rakyat, orang sudah meluat dengar.

“Rakyat dengar cerita (serangan peribadi) mereka telah tolak, mereka nak pemimpin yang boleh bela mereka, boleh jaga kebajikan rakyat.

“Balik-balik sebut nama saya, rakyat sudah benci dengar isu (serangan peribadi),” katanya selepas pengumuman keputusan PRK DUN Slim di Majlis Daerah Tanjung Malim malam semalam.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, bukti penolakan rakyat terhadap agenda yang dibawakan Pejuang ialah calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi kalah teruk di Felda Besout 2 yang dikunjungi Mahathir ketika berkempen untuknya Khamis lalu.

“Tempat Mahathir pergi di Besout 2, mereka kalah teruk, calon kita menang majoriti jauh lebih besar. Ini petanda rakyat semakin sedar kegagalan kepimpinan beliau selama 22 bulan. Jelas mereka beri sokongan kepada BN dan tolak calon parti baru.”

Beliau berkata, kemenangan besar BN yang dibantu PAS dan Bersatu pada PRK DUN Slim membuktikan parti itu masih diterima rakyat.

“Ini bukti logo BN masih dekat di hati rakyat, malah melalui Muafakat Nasional, maknanya kerjasama dengan PAS, parti-parti lain dalam BN, MCA, MIC, Bersatu ada sumbangan.

“UMNO dan PAS teras kepada MN. Ini merupakan ramuan politik pilihan utama masyarakat, khususnya dalam konteks PRK DUN Slim.”

Najib berkata, sokongan bukan Melayu kepada BN kembali meningkat pada PRK DUN Slim.

“Undi Cina dan undi India nampak semakin meningkat ke arah BN, ini satu petanda sangat positif dan terima kasih di atas perubahan sikap mereka.”

BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Slim dengan majoriti 5 kali ganda lebih banyak daripada kelebihan 2,183 undi yang diraih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Calon BN, Mohd Zaidi Aziz meraih 13,060 undi, menewaskan 2 calon bebas, Amir Khusyairi dan S Santharasekaran dengan majoriti 10,945 undi.

Jangan lalai dengan kemenangan besar

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa menasihatkan parti itu tidak lalai dengan kemenangan besar di PRK DUN Slim kerana gerak kerja perlu diteruskan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN Sabah.

Katanya, kemenangan hari ini ialah momentum baik dan persiapan untuk PRN DUN Sabah pada 26 September nanti.

“Kita bersyukur melebihi sasaran majoriti sekitar 8,000 undi. Kita dapat lebih daripada 10,000 undi, ini pencapaian yang baik, tetapi ini tidak harus melalaikan kita, cuma feel good factor ini kita harap dapat bawa ke Sabah.

“Tiada istilah bercuti, termasuk esok dan lusa, kita akan terus buat persiapan untuk PRN DUN Sabah.”

Beliau berkata, kemenangan BN di Sabah penting dan ia akan menghadapi cabaran lebih besar untuk membela serta memajukan Sabah.

Sementara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejayaan BN mempertahankan DUN Slim mengubat kerinduan rakyat terhadap parti itu.

“Jika diadakan (PRN Sabah), insya-Allah kita tidak riak, jauh juga takabur untuk terus menggamit sokongan rakyat yang amat rindukan BN ini. Dan insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik.”

Katanya, 6 daripada 13 pusat mengundi yang BN kalah pada PRU14, berjaya dimenangi parti itu hari ini.