KUALA LUMPUR, 1 Ogos -- Kerajaan perlu menegaskan atau menerangkan apa yang dimaksudkan dengan 'tempat awam' dan juga 'tempat sesak' tatkala pemakaian pelitup muka diwajibkan bermula Sabtu.

Persoalan yang timbul dalam kalangan rakyat itu perlu diperjelaskan secepat mungkin untuk memastikan pelaksanaan arahan tersebut berjalan lancar.

Pengerusi Perikatan untuk Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, walaupun persoalan itu kelihatan mudah, namun definisi 'tempat sesak' dan 'tempat awam' perlu dijelaskan sebaiknya kepada masyarakat.

Beliau turut mencadangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan satu garis panduan yang jelas untuk difahami oleh penguatkuasa dan masyarakat.

Pendapat yang sama juga disuarakan oleh Perunding Keselamatan dan Kesihatan Awam iaitu saudara Soffian Osman, di mana kementerian kesihatan (KKM) perlu memberi penjelasan lanjut terhadap frasa 'tempat awam' bagi pemakaian pelitup muka.

Ianya bagi mengelakkan kekeliruan antara orang ramai dan juga pihak berkuasa ketika penguatkuasaan dilakukan.

"Frasa yang digunakan hanya menetapkan 'tempat awam yang sesak' tanpa memberikan perincian yang lebih terhadap apakah 'tempat awam yang sesak' tersebut.

"Saya kira, pihak kerajaan terutamanya KKM, ataupun agensi yang berkuasa dalam menguatkuasakan Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1998 iaitu akta 342 tersebut, perlu memberi penjelasan lanjut terhadap frasa 'tempat awam yang sesak'.

"Mungkin berikan definisi yang lebih lanjut, ciri-ciri berkaitan.

Lebih baik, KKM dapat menyenaraikan 'tempat-tempat awam sesak' yang dimaksudkan...seperti mana...kalau kita ambil contoh, kawasan larangan merokok sebelum ini di bawah peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004...dia menyenaraikan tempat-tempat yang dimaksudkan.

"Ini penting sebab kita nak elakkan kekeliruan di antara orang awam dan juga pihak berkuasa itu sendiri supaya apabila ia dikuatkuasakan, tidak ada orang yang katakan bahawa mereka tak faham 'tempat awam' yang dimaksudkan tersebut," jelasnya.