KUALA LUMPUR, 2 Ogos -- Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad membidas kenyataan bekas ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menggesa UMNO bergerak ke depan dan tidak dikaitkan dengan keputusan mahkamah dalam kes bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Shahrir, Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau itu seolah-olah 'ketinggalan' dan berada dalam penafian berhubung perubahan yang berlaku sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Iaitu saya hairan kenapa YB Khairy berpendapat semacam UMNO belum mampu bergerak ke hadapan. Seolah-olah UMNO masih berada dalam kebingungan akibat kekalahan di PRU14.
“Seolah-olah UMNO masih terperangkap dalam kenafian realiti dan masih mahu mempertahan bekas presiden dan perdana menteri, DS Najib Tun Razak,” katanya dalam siaran Facebook, hari ini.
Terdahulu, Khairy menggesa UMNO melakukan proses rejuvenasi, susulan sabitan bersalah bekas presiden parti itu, Najib atas 7 pertuduhan membabitkan dana SRC International sebanyak RM42 juta.
Khairy turut berharap UMNO tidak diheret sekali dalam kes membabitkan Najib yang dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta oleh mahkamah. .
Shahrir berkata, banyak perubahan berlaku dalam UMNO sejak Khairy tewas pemilihan parti sebelum ini.
Antaranya ialah gabungan UMNO-PAS dalam Muafakat Nasional, peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan peralihan pentadbiran kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Peletakan jawatan perdana menteri oleh Tun Dr Mahathir sehingga munculnya kerajaan TS Muhyiddin, kedua-dua ini melibatkan kepimpinan.
“Tanpa perpaduan dalam UMNO dan kepimpinan parti yang memahami kehendak ahli dan pimpinan bawahan, kedua-dua peristiwa terpenting ini pasti tidak akan berlaku,” katanya.
Beliau berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah pun ke hadapan dan akan terus ke hadapan dengan memantapkan kesiapsagaan untuk mendapat kembali mandat rakyat secara terhormat dan berprinsip pada pilihan raya umum ke-15.
“(Oleh) kerana itu UMNO dan PAS memahami sokongan kepada kerajaan TS Muhyiddin, yang Khairy menjadi seorang menteri dalamnya, sedangkan ia sesuatu jawatan yang boleh ditolak, adalah untuk menyelamatkan keadaan buat sementara waktu,” katanya.
Katanyanya, UMNO dan BN hari ini sangat berbeza daripada keadaan parti itu pada Mei 2018, iaitu selepas ia tumbang kepada PH pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), sekali gus menyaksikan Dr Mahathir kembali menjadi perdana menteri.
“Kes-kes mahkamah yang melibatkan pemimpin UMNO, termasuk saya sendiri, akan terus berjalan. Saya tidak pun melibatkan UMNO dalam kes ini dan saya tetap bersama UMNO, menyokong perjuangan parti walaupun saya menghadapi pendakwaan di mahkamah.
“Kes di mahkamah tetap tanggungan kami sendiri. Ia sama sekali tidak akan menghalang kelangsungan perjuangan bangsa, agama dan negara melalui UMNO.
Beliau berkata, tidak juga timbul soal biadap di pihak Khairy kerana UMNO ketika ini sudah jauh ke hadapan, dengan meninggalkan dilema yang dihadapi selepas PRU14.