KULIM, 19 Ogos -- SMK Sungai Karangan di sini terpaksa ditutup dua minggu selepas terdapat guru dan pelajarnya dikesan positif COVID-19.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan penutupan itu dibuat selepas sekolah terbabit dikaitkan dengan penularan jangkitan COVID-19 daripada kluster Tawar.
Sebagai langkah awal pengawalan, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menjalankan aktiviti nyah cemar dan sanitasi di sekolah berkenaan.
Jelas Muhammad Sanusi, pihak KKM turut menjalankan saringan COVID-19 ke atas semua murid bagi membendung wabak itu daripada terus menular.
"Tak ada dah pelajar yang negatif datang ke sekolah. Jadi, sekolah itu ditutup dengan sendirinya," katanya.
Ketika ditanya sama ada sekolah lain turut ditutup, beliau menjelaskan kerajaan negeri belum menerima sebarang arahan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Sekolah-sekolah lain belum lagi. Kita tunggu KPM beri arahan," katanya.
Muhammad Sanusi berkata demikian dalam sidang media selepas menerima sumbangan daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Wisma Darul Aman, pada Rabu.
Kluster Tawar sebelum ini dikaitkan dengan upacara pengebumian yang diadakan pada 31 Julai dan 1 Ogos lalu.