Laman FB Bersatu.TV didakwa hina TMJ

KUALA LUMPUR, 9 Ogos -- Tidak berpuas hati dengan teguran yang dikeluarkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pihak pentadbir (admin) laman Facebook Bersatu.TV bertindak melemparkan kata kurang sopan terhadap baginda.

Laman Facebook itu dikaitkan dengan media Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 'Blackout' dan dipercayai ditadbir oleh penyokong yang kecewa dengan pemecatan Dr Mahathir dari parti itu.

Siaran laman Facebook itu dimuat naik pada Sabtu malam dan tinjauan mendapati siaran tersebut turut dilihat mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dan hasutan terhadap Tunku Ismail.

“Koyak ke TMJ? Duit sendiri? Cuba tanya Majlis Bandaraya Johor Bahru, siapa bayar untuk stadium mahal untuk JDT SEMUA?

“Dari BAS hingga ke gaji pemain semua JCS dan PBT bayar tapi budak nangoi kata dia bayar pakai duit sendiri?” kata pihak pentadbir laman Facebook tersebut.

Siaran tersebut juga mencabar Tunku Ismail untuk 'turun takhta sekiranya mahu berpolitik'.

Tinjauan di ruangan komen siaran Facebook Bersatu.TV mendapati rata-rata netizen meluahkan rasa kecewa terhadap pihak pentadbir Facebook tersebut.

"Koyak ke admin dan page ni? Tak payah nak pertikai sangat harta anak raja...semua anak raja kat dunia ni kaya," tulis Anwar Azmin, salah seorang pengguna Facebook yang memberi komen.

Manakala, seorang lagi pengguna Facebook, Arjuna Yusoff meminta laporan polis dibuat terhadap siaran Facebook tersebut.

"#PDRM Report polis. Ini dah kurang ajar pada institusi raja," tulisnya.

Terdahulu, Tunku Ismail membalas ciapan pembantu kepada Mahathir, Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin yang mendakwa baginda 'menayangkan kereta-kereta mewah berharga jutaan ringgit di saat rakyat susah'.

“Beli pakai duit sendiri. Bukan ambik duit Rakyat macam your boss. What atau how much your boss bagi sumbangan kepada rakyat selama ini kalau nak dibandingkan dengan sumbangan Keluarga DiRaja Johor kepada rakyat?," titah baginda di laman Twitternya.

Pada Jumaat, Tunku Ismail melalui akaun rasmi Instagram baginda, membuat kenyataan sinis terhadap 'individu-individu tertentu yang disifatkan sebagai gila kuasa di saat negara memerlukan kestabilan bagi memperbaiki ekonomi rakyat'.

Kenyataan tersebut dipercayai ditujukan kepada Dr Mahathir sejurus beliau mengumumkan akan menubuhkan satu lagi parti Melayu baru pada hari yang sama.

“Rakyat tengah susah. Negara perlukan kestabilan untuk memperbaiki ekonomi supaya dapat membantu dan boleh mengurangkan beban rakyat.

“Semua dah kaya raya tetapi masih gila kuasa. Ada juga aku ‘backhand’ seorang-seorang,” titah baginda.

Tunku Ismail turut menyifatkan tindakan tersebut sebagai memecahbelahkan bangsa Melayu.

Sementara itu, siasatan mendapati laman Facebook tersebut hanya dicipta pada tahun ini iaitu pada Februari lepas dan ditadbir sebanyak 14 individu.

-- SuaraKini