KUALA LUMPUR, 9 Ogos -- Pegawai khas bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Jefridin Atan, berkata beliau akan membuat laporan polis esok mengenai berita penyebaran berita palsu bahawa Abdullah telah meninggal dunia.
Menurut laporan Bernama, Jefridin berkata mereka memandang serius perkara ini dan beliau akan membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Putrajaya.
"Kami tidak boleh mengabaikan ini. Mesej viral adalah fitnah yang menimbulkan masalah bagi orang. Sebetulnya, rakyat harus mendoakan kesejahteraan dan panjang umur kepada Pak Lah.
"Ini bukan satu gurauan. Saya akan serahkan kepada polis untuk menyiasat,” katanya.
Bekas setiausaha akhbar Abdullah, Teoh Ai Hua, menggesa orang ramai untuk tidak berkongsi berita yang diragui kesahihan.
Beliau juga bertemu Abdullah di kediamannya pada Khamis.
“Pak Lah baik-baik saja ketika kami bertemu pada hari itu. Saya tidak faham mengapa orang ramai mahu menyebarkan berita palsu. Tolong jangan lakukannya," kata Teoh, yang kini menjadi pensyarah di Pusat Pengajian Kerja Psikologi, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM).
Berita palsu hari ini mengenai Abdullah serupa pada 2 Ogos lalu, yang juga dinafikan oleh Jefridin.
Abdullah atau mesra dipanggil Pak Lah, 81, ialah perdana menteri kelima dari tahun 2003 hingga 2009.