KUALA LUMPUR, 6 Ogos -- Seorang ahli ekonomi berkata Malaysia perlukan suatu dasar mampu diri bekalan beras nasional, dan menggesa kerajaan mengkaji bagaimana meningkatkan tuaian padi dengan kaedah hasil tinggi yang digunakan di negara lain.
Barjoyai Bardai berkata kerajaan tidak boleh bergantung pada Padiberas Nasional Bhd (Bernas). Keputusan Putrajaya untuk melanjutkan lesen import beras Bernas hanya boleh sebagai penyelesaian sementara untuk menjamin keselamatan makanan.
“Kita tahu Malaysia hanya menghasilkan 70% daripada beras yang ia gunakan. Kita masih perlu import. Kos pengeluaran kita tinggi jika dibandingkan dengan harga untuk mengimport, jadi ada unsur subsidi.
“Bagi jangka masa panjang, kita harus fikir bagaimana untuk mengambil balik Bernas daripada sebuah entiti swasta ke bawah kawalan kerajaan supaya Bernas benar-benar boleh berfungsi dengan matlamat menjadikan Malaysia mampu diri dari segi beras,” katanya.
Barjoyai berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan harus mempersiapkan industri ke arah mengenyah subsidi.
Negara lain seperti Indonesia memanfaatkan teknologi ringkas dan inovasi yang membantu meningkatkan tuaian berbayar hampir 2 kali ganda daripada jumlah yang Malaysia hasilkan.
Kaedah penanaman Indonesia boleh menghasilkan 15 tan padi per hektar berbanding 5 tan di Malaysia. “Kerajaan Kelantan pernah bereksperimen di tanah seluas 30 ekar di Kota Bharu, dan ia mengeluarkan hasil kira-kira 12 tan. Saya tak tahu kenapa mereka tidak bersedia memulakannya,” katanya.
“Saya fikir kerana sudah leka dengan sistem sedia ada, di mana petani dapat subsidi dan kita tak mahu kehilangan subsidi itu.”
Tey Yeong Sheng dari Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan di Universiti Putra Malaysia berkata melanjutkan monopoli Bernas ke atas import beras tidak akan mengubah struktur industri sedia ada.
Konsesi yang diperbaharui itu bermakna Malaysia membenarkan “apa yang tidak berfungsi dan apa yang tidak berfungsi dengan baik” untuk berkembang, katanya.
Beliau berkata Malaysia terlepas banyak peluang untuk memajukan industri itu, yang masih dilanda masalah harga siling “bawah kos” dan produktiviti lembap.
Beliau berkata Bernas patut mencipta pasaran yang lebih berdaya saing, dengan membenarkan usahawan lain berkembang.
Bagaimanapun, import beras murah bukanlah alterantif. Petani akan terjejas ketika pengguna dapat manfaat.
Pada Selasa, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata Bernas dibenarkan untuk terus menjadi pengimport tunggal beras dalam menguruskan bekalan beras negara.
Beliau memberitahu Dewan Rakyat ini bagi tujuan keselamatan makanan, apatah lagi ketika pandemik mengganggu rantaian makanan global.