KUCHING, 14 Ogos -- Seorang lelaki berusia 48 tahun yang baru-baru ini mendedahkan penglibatannya dalam pemerdagangan organ manusia di seluruh dunia kepada akhbar Britain, direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kuching, Mosidi Husseini memberikan perintah itu setelah pegawai penyiasat ASP Nor Elyanis Mohd Yusoff memohon reman di Mahkamah Majistret Kuching hari ini.
Terdahulu, suspek menyerah diri di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kuching pada pukul 1.45 tengah hari semalam, selepas menyedari dirinya diburu polis berikutan pendedahannya kepada seorang wartawan The Sun yang menyamar, bahawa suspek dipercayai broker menawarkan penjualan buah pinggang yang diperoleh daripada mangsa miskin.
Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Dalam artikel pada 8 Ogos, The Sun melaporkan lelaki itu memberitahu kepada wartawannya yang dia boleh menawarkan pakej pelancongan pemindahan organ secara haram untuk warga Britain.
Dalam artikel itu juga, suspek digambarkan sebagai broker jahat yang mendalangi 45 penjualan buah pinggang secara haram dan menggunakan Facebook untuk menarik mangsa yang dilanda kemiskinan dari seluruh dunia untuk menjual organ mereka kepada pesakit yang amat memerlukan.