BEIRUT, 5 Ogos -- Setiausaha Agung Palang Merah Lubnan, George Kettaneh pada Rabu berkata mangsa kematian akibat letupan pada Selasa di Pelabuhan Beirut meningkat kepada 100 orang dan lebih 4,000 lagi cedera.
Dalam pada itu, George turut berkata hospital Beirut tidak lagi dapat menampung jumlah mangsa korban yang semakin meningkat.
Beliau menambah bahawa beberapa mangsa masih lagi berada di bawah runtuhan.
Presiden Lubnan, Michel Aoun berkata letupan itu berpunca daripada ammonium nitrat seberat 2,750 tan yang disimpan di gudang di pelabuhan berkenaan.
Dalam ciapan di akaun Twitter beliau, Aoun berkata menyimpan lebih 2,000 tan metrik ammonium nitrat di gudang tanpa langkah keselamatan adalah perkara yang tidak dapat diterima.
Beliau menegaskan mereka yang bertanggungjawab akan dihukum dengan cara yang paling berat.
Menteri Kesihatan, Hamad Hassan berkata sekurang-kurangnya 63 orang maut dan lebih 2,750 telah cedera dalam letupan itu.
Sementara itu, pihak berkuasa Lubnan mengisytiharkan Beirut sebagai "kawasan bencana" berikutan kejadian itu.
Majlis Pertahanan Tertinggi Lubnan telah mengisytiharkan darurat selama dua minggu di ibu kota itu.
Letupan besar di pelabuhan itu telah meranapkan sebuah bangunan tiga tingkat dan bunyi letupan amat kuat sehingga dapat didengari di seluruh bandar dan pinggir bandar.
