KUALA LUMPUR, 5 Ogos -- Insiden letupan besar di Beirut, Lubnan
tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan sebaliknya berkemungkinan
akibat kegagalan kerajaan negara itu mengawal dan menguruskan bahan letupan
amonium nitrat dengan baik.
Pakar Kajian Strategik dan
Antikeganasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Profesor Madya Dr Mohd Mizan
Mohammad Aslam berkata lebih memburukkan keadaan, negara itu mempunyai pelbagai
masalah dalaman menjadikan situasi di Lubnan semakin mencengkam seterusnya
memberi kesan yang besar.
“Apa berlaku di Beirut merupakan
satu malapetaka besar, ini kerana negara itu sebenarnya mempunyai pelbagai
masalah terutama perang saudara selama 15 tahun, ditambah dengan isu kemiskinan
yang mana Lubnan juga antara negara miskin kerana hampir 50 peratus rakyat
mereka berada pada paras kemiskinan.
“Negara itu juga mempunyai hutang
yang sangat besar, ditambah pula dengan isu lain seperti pembunuhan bekas
Perdana Menteri Rafiq Hariri pada 2005 dan Perdana Menterinya yang baharu,
Hamad Hassan menghadapi pelbagai isu dalaman politik selain isu COVID-19,”
katanya ketika dihubungi semasa program ‘Malaysia Petang Ini’ terbitan Bernama
TV hari ini.
Beliau juga tidak menolak
kemungkinan insiden letupan itu akan memberi peluang kepada kumpulan pengganas
dan pihak yang tidak bersekutu dengan Lubnan untuk menyerang negara tersebut
dalam tempoh ini.
Pakar Pengurusan Projek dan Bahan
Tahan Impak Letupan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Profesor
Madya Ir Dr Mohammed Alias Yusof pula tidak menolak kemungkinan letupan yang
berlaku adalah disebabkan kebakaran dan letupan kecil pada amonium nitrat yang
disimpan dalam gudang.
Beliau berkata ammonium nitrat,
yang merupakan komponen utama baja dan digunakan dalam industri pertanian,
mudah terbakar dan ia tidak boleh meletup tanpa peledak.
“Kemungkinan disebabkan ada bahan
letupan dalam kuantiti yang banyak disimpan di bawah gudang dan ia mengeluarkan
gas atau gelombang pada kelajuan amat tinggi seterusnya meranapkan bandar dan
kawasan sekelilingnya,” kata beliau.
Media antarabangsa hari ini
melaporkan dua letupan besar menggegarkan Pelabuhan Beirut, Lubnan pada Selasa
menyebabkan sekurang-kurangnya 73 orang terbunuh dan lebih 3,000 lagi cedera.
Letupan itu, yang berlaku di
sebuah gudang di Pelabuhan Beirut pada kira-kira 6.10 petang waktu tempatan,
menggegarkan hampir kesemua bangunan di seluruh bandar selain menyebabkan
banyak nyawa terkorban dan kerosakan.
Punca sebenar letupan belum diketahui namun Menteri Dalam Negeri Lubnan, Mohammad Fahmi berkata ia mungkin disebabkan bahan kimia yang disimpan di gudang pelabuhan itu meletup.
