KUALA LUMPUR, 21 Ogos -- Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mampu mengukuhkan kedaulatan Malaysia.

Dalam satu video temubual dengan seorang pelajar, Mahathir ditanya siapa antara tiga (Muhyiddin, Anwar dan Najib) yang beliau percayai dapat mengukuhkan kedaulatan negara.

"Tiada satu pun," katanya.

Beliau juga ditanya, gabungan kerajaan mana yang paling kuat dan adil, antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

Beliau menjawab: "BN pada masa dulu."

Ketika diminta untuk menggambarkan sifat baik Anwar, Mahathir berkata beliau bercita-cita tinggi, sambil menambah bahawa Anwar memilih untuk menyertai UMNO kerana beliau tahu beliau tidak boleh menjadi perdana menteri jika berada dalam PAS.

"Itulah sebabnya beliau memilih untuk menyertai UMNO, dan saya menerimanya serta menaikkan pangkat beliau menjadi timbalan perdana menteri. Beliau sepatutnya menggantikan saya ketika saya letak jawatan,” katanya.

"Tetapi sebelum itu, insiden terjadi yang membawanya ke mahkamah, dan itu menghalangnya untuk menjadi perdana menteri."

Mahathir juga menyifatkan Najib sebagai seorang pemimpin yang berbakat dan berkebolehan.

Namun, beliau berkata cara bekas perdana menteri itu untuk mendapatkan populariti di kalangan rakyat dengan memberikan wang adalah "idea yang tidak sesuai" bagi seorang pemimpin.

Mahathir juga meminta para belia negara untuk terlibat dan mengetahui perkembangan tempatan, dengan memberitahu mereka bahawa mengabaikan perkara-perkara seperti itu akan menjadi tidak bertanggungjawab di pihak mereka.

"Apa yang berlaku di negara ini akan memberi kesan kepada mereka di kemudian hari. Itulah sebabnya mereka harus mengambil berat tentang apa yang berlaku di sekitar mereka," katanya.

"Atau tidak, mereka akan dikawal oleh orang-orang yang mempunyai agenda mereka tersendiri, yang mungkin tidak baik untuk negara."