KUALA LUMPUR, 5 Ogos -- Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengulang pendiriannya sebelum ini bahawa mesejnya tidak boleh dinafikan bahawa UMNO perlu bergerak ke hadapan.

Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata masih ada yang mahu bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak kembali menerajui parti sebagai presiden UMNO, walaupun beliau sudah didapati bersalah di mahkamah.

“Saya cakap benda yang...yang saya rasa menjadi rahsia terbukalah sekarang ni. Masih lagi ada yang berharapan bahawa Datuk Seri Najib kembali sebagai presiden UMNO.

"Inilah yang saya maksudkan. Mereka tak nak cakap benda ni, tapi saya terpaksa cakap. Dan, bagi saya, kita perlu bergerak ke hadapan. Cari generasi baharu untuk memimpin UMNO," katanya.

Khairy berkata, kenyataannya sebelum ini hanyalah mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.

Jelasnya hari ini, beliau tidak berniat untuk biadap terhadap Najib dengan kenyataannya itu bahawa "UMNOperlu bergerak ke hadapan."

"...tetapi saya rasa ramai yang rasa bahawa UMNO perlu menyediakan kumpulan pimpinan yang baharu, yang boleh mengambil alih, yang boleh diberikan masa sekarang untuk buat perancangan, untuk lima, 10 tahun akan datang. Itu maksud saya. Bukan saya biadap terhadap Datuk Seri Najib.

“Tengku Razaleigh cakap benda yang sama. Tetapi mungkin kerana Tengku Razaleigh adalah negarawan yang senior, tak ada siapa yang berani untuk tegur, ataupun perli.

“Bukan saya nak samakan saya dengan Tengku Razaleigh. Beliau adalah senior. Tetapi mesej kita sama.

"Tetapi oleh kerana saya...KJ, nakal...whatever persepsi yang mereka ada pada saya...semua saya kena kecam, dan saya kena kritik terutamanya orang-orang kuat Datuk Seri Najib, dan mereka telah tembak messenger,” katanya lagi mengulas kritikan yang diterimanya sebelum ini.

Antara yang lantang membidas Khairy susulan kenyataan tersebut ialah Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkarshi dan veteran parti, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.


Khairy yang juga bekas ketua pemuda UMNO berkata parti itu masih kukuh di bawah kepimpinan presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Sekarang ini presiden masih lagi ada, Datuk Seri Zahid. Tidak ada masalah sebab kes beliau masih pun ongoing...tidak ada keputusan apa-apa dari mahkamah.

"Tetapi, kita mesti melihat, selepas itu, siapa? Apakah barisan kepimpinan baru? Yang sebenarnya, yang dikehendaki oleh rakyat juga,” katanya.

Zahid sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi dan lapan pertuduhan rasuah.

Khairy berkata demikian dalam temubual khas beliau bersama AstroAwani.