KUALA LUMPUR, 19 Ogos -- Kaukus Ahli Parlimen untuk mereformasi sistem pilihan raya negara secara rasmi ditubuhkan hari ini.
Penubuhan kaukus ini bertujuan untuk mencari jalan untuk mencegah wakil rakyat daripada melompat parti.
Pengerusi Kesatuan Antara Parlimen Malaysia, Anthony Loke (PH-Seremban) berkata, kesatuan itu bersetuju untuk mencadangkan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) sebagai pengerusi kaukus.
Beliau berkata, kaukus tersebut juga akan dianggotai oleh wakil daripada setiap parti yang mempunyai ahli Parlimen.
"Kita yakin bahawa Mohamed Nazri sebagai seorang ahli Parlimen senior dan bekas menteri cukup disanjungi serta dihormati. Kaukus ini akan melihat mekanisme untuk kita mengubah sistem pilihan raya kita," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Sementara itu, Nazri menyifatkan melompat parti sebagai tindakan tidak bermoral yang boleh menjejaskan kestabilan negara.
"Ini masalah yang dihadapi oleh negara sejak 30 tahun yang lalu. Kita tahu bahawa mahkamah tertinggi di Malaysia telah memutuskan bahawa akta anti lompat parti tidak boleh dikuatkuasakan kerana ia menghalang hak asasi manusia, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
"Jadi kita perlu memikirkan sesuatu perkara kerana ia perbuatan manusia. Begitu juga dengan akta dan kita boleh menggunakan pemikiran kita bagi menghentikan tindakan ini," katanya.
Nazri juga berkata kaukus akan mengadakan perbincangan pakar, ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang dirasakan sesuai bagi memberikan input bagaimana sistem pilihan raya negara boleh ditambah baik.
Jelasnya, parti-parti besar di Dewan Rakyat seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS), DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Barisan Nasional (BN) dan PAS telah bersetuju menyertai kaukus tersebut.
"Kita perlukan kekuatan mental dan jangan meletakkan rintangan di hadapan. Semua ini demi kebaikan semua pihak termasuklah ahli Parlimen, rakyat dan negara," katanya.