KUALA LUMPUR, 1 Ogos  --  Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif dijangka menyaksikan satu lagi tempoh dagangan lengang pada minggu hadapan ketika pedagang memberi sentimen yang bercampur-campur akibat perkembangan di peringkat luaran.

Menurut Peniaga Phillip Futures Sdn Bhd Ong Su Ling, walaupun harga emas dijangka kekal didorong oleh ketegangan dan ketidaktentuan AS-China berterusan serta persekitaran pertumbuhan ekonomi global, namun masih terdapat kemungkinan untuk harga emas didagangkan rendah kerana kerana pembetulan teknikal ketika pasaran terus berharap menyaksikan lebih banyak petunjuk daripada data ekonomi AS serta pendapatan korporat.

“Malah, kekurangan mudah tunai (jumlah dagangan) akibat penggiat pasaran yang tidak ramai di pasaran hadapan emas Bursa Malaysia juga mungkin menyebabkan pasaran tempatan ditutup tanpa sebarang jumlah dagangan selain kemungkinan banyak pelabur menumpukan emas dalam dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Selepas mencecah paras tertinggi US$1,980 pada minggu ini, Penganalisis Kanan Pasaran OANDA bagi Asia Pasifik, Jeffrey Halley berkata asas peningkatan emas kekal kukuh berikutan mudah tunai tersedia Rizab Persekutuan AS, pulangan sebenar negatif di seluruh keluk hasil AS serta dolar AS yang lebih rendah.

Beliau berkata, logam berharga itu dijangka mampu menguji paras US$2,000 satu auns selepas mencecah US$1,981 satu auns yang akan memberi rintangan ketara terhadap aliran kenaikan jangka pendek.

Bagi minggu baru berakhir, niaga hadapan emas tempatan tidak berubah bagi sebahagian besar minggu ini, kecuali pada Khamis.

Bagi asas Khamis hingga Jumaat, kontrak Julai 2020 naik 418 mata kepada RM266.30 segram manakala Ogos 2020, September 2020 dan Oktober 2020 kesemuanya menokok 165 mata kepada RM256, RM254.45 dan RM254.35 segram.

Jumlah dagangan mingguan adalah sebanyak satu lot bernilai RM25,600 berbanding sifar sebelumnya manakala kepentingan terbuka sebanyak 41 kontrak daripada 40 kontrak.

Harga emas fizikal kekal pada RM257.65 segram pada Khamis berbanding RM251.14 segram pada Jumaat lepas.

Pasaran ditutup pada Jumaat bersempena cuti umum Aidiladha. - BERNAMA