KUALA LUMPUR, 2 Ogos -- Bermula semalam, 1 Ogos, rakyat telah mula memakai pelitup muka khususnya semasa berada di dalam pengangkutan awam dan kawasan sesak berikutan langkah kerajaan mewajibkan pemakaiannya untuk membendung wabak COVID-19.
Rata-rata rakyat boleh dikatakan akur dengan peraturan terbaharu itu daripada membayar denda RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), sekiranya gagal mematuhinya.
Tinjauan di sekitar ibu kota pada hari pertama penguatkuasaan arahan itu mendapati masyarakat mula mendisplinkan diri dengan memakai pelitup muka khususnya di kawasan tumpuan sebaik sahaja keluar daripada kenderaan masing-masing.
Pelitup muka kini boleh dikategorikan sebagai 'perisai' paling penting dalam menghadapi musuh tidak kelihatan COVID-19, selain memastikan penjarakan fizikal yang wajib dipatuhi rakyat.
Selain sentiasa menyediakan bekalan lebihan pelitup muka di dalam kenderaan, membawa cecair pembasmi kuman bersama serta mengamalkan penjarakan fizikal turut menjadi amalan baharu masyarakat ketika berada di tempat awam.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga dilaporkan berkata penggunaan pelitup muka perlu diamalkan bersama penjagaan kebersihan tangan dengan kerap dan penjarakan fizikal yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain.
Jelasnya, terdapat dua jenis pelitup muka yang boleh digunakan bagi tujuan pencegahan jangkitan COVID-19 iaitu pelitup muka perubatan dan pelitup muka bukan perubatan.
"Pelitup muka perubatan seperti pelitup tiga lapisan, digunakan oleh petugas kesihatan; orang awam yang mempunyai gejala saluran pernafasan; golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas (iaitu mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas); dan mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.
"Penggunaan pelitup muka bukan perubatan disyorkan untuk mereka yang tidak mengalami gejala namun berada di tempat-tempat di mana penjarakan fizikal sukar diamalkan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Pelitup muka bukan perubatan jenis fabrik yang dijual di pasaran mungkin tidak menepati ciri-ciri yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), namun boleh dipakai orang awam tetapi keberkesanannya mungkin berbeza bergantung kepada jenis dan bilangan lapisan kain yang digunakan.
"Adalah diingatkan bahawa pelitup muka tidak boleh dikongsi dengan orang lain. Semua pelitup muka perlu dipakai dan dilupuskan dengan cara yang betul.
"Pelitup muka tidak boleh dipakai oleh kanak-kanak yang berumur kurang daripada dua tahun, bagi mereka yang sukar bernafas dan individu yang tidak sedarkan diri, kurang berupaya atau tidak dapat menanggalkan pelitup muka tanpa bantuan," katanya.
