SLIM RIVER, 21 Ogos -- Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak malam tadi mengingatkan para pengundi berbangsa India yang bakal menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim agar tidak tertipu lagi dengan muslihat Pakatan Harapan (PH) dan parti baharu Tun Dr Mahathir Mohamad buat kali kedua.
Najib berkata, kaum India sepatutnya menggunakan peluang kedua mengundi itu untuk membetulkan kesilapan yang dilakukan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
"Sekali lagi dia (Mahathir) nak letak calon bebas sebab parti dia belum daftar lagi. Nama (parti) dia pun kononnya Pejuang.
"Tapi, siapa yang memperjuangkan nasib kaum India, tuan-tuan? Atok (Mahathir) ke atau Barisan Nasional," soal Najib.
"Barisan Nasional," jawab penyokong yang hadir.
Najib juga berkata undi perlu diberikan kepada Barisan Nasional (BN) yang terbukti menjaga kebajikan bangsa India sebelum kerajaan PH mengambil alih Putrajaya selama 22 bulan.
"Kita tak boleh pakai orang yang nama Pejuang, janji macam-macam. Tapi, bila dapat kuasa, dia lupa semuanya. Janji pun dia kata tak perlu tunaikan. Dia kata promise election (janji pilihan raya) manifesto bukan bible (kitab)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah perdana di perkarangan Bilik Gerakan Parti Makkal Sakti Malaysia di sini malam tadi.
Turut hadir calon BN bagi PRK Slim, Mohd Zaidi Aziz yang akan berdepan dua calon Bebas dari Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S Santharasekaran.
Mengulas lanjut, Najib turut menyeru pengundi memilih Mohd Zaidi yang merupakan anak tempatan berbanding calon bebas dari Pejuang yang berasal dari Teluk Intan.
Beliau berkata, calon BN itu juga telah diasuh oleh penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib selain berpengalaman luas dalam pertubuhan bukan kerajaan.
“Calon Atok ni orang Teluk Intan, tuan-tuan. Dia tak kenal tuan-tuan. Jadi, tempat dia di Teluk Intan, tanding (di) Teluk Intan lah. Apa tanding di sini?
“Kita nak anak tempatan yang besar sama kita, yang tahu perasaan hati tuan-tuan, yang tak ke mana (selepas PRK). Macam mana pun, dia (Mohd Zaidi) akan ada di sisi tuan-tuan, bersama-sama dengan tuan-tuan,” katanya.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mohd Khusairi mpada 15 Julai lalu di Hospital Bentong, Pahang selepas mengadu kesukaran bernafas.
Mohd Khusairi dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11 pada 2004.
Pada PRU14, beliau mempertahankan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim, dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zaina.