TANJUNG MALIM, 30 Ogos -- Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berlapang dada menerima kekalahan mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim semalam.

Calonnya, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, hanya meraih 2,115 undi berbanding pemenang iaitu Mohd Zaidi Aziz yang meraih 13,060 undi.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya berasa puas hati dengan gerak kerja jentera yang berusaha berhadapan dengan pihak lawan yang disifatnya saingan sengit.

“Kami menerima sepenuhnya keputusan tersebut dan mendapat kerjasama baik daripada Pakatan Harapan (PH) tetapi kita bukan sebahagiannya.

“Kami juga rasa puas hati bahawa calon kita bergerak sebagai satu jentera hadapi Barisan Nasional (BN) walaupun sebagai calon Bebas,” katanya.

Mukhriz turut menyifatkan kekalahan Amir sebagai 'kalah bermaruah' memandangkan beliau tidak kehilangan deposit walaupun bertanding atas tiket bebas.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa undi belia telah kembali semula kepada BN kerana beliau menganggarkan 35% belia tidak membuang undi pada PRK kali ini.

Katanya, jumlah undi yang diterima pada PRK ini tidak mewakili kekuatan parti pada pilihan raya umum (PRU15) kelak. Sebaliknya, beliau mendakwa parti itu akan memperoleh lebih banyak undi dan sokongan pada PRU15.

Mukhriz berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman kemenangan calon BN pada PRK DUN Slim, di sini, malam tadi. Turut hadir Amir Khusyairi, Datuk Marzuki Yahya dan Datuk Amiruddin Hamzah.

Terdahulu, BN berjaya mengekalkan kerusi DUN Slim dengan kemenangan besar pada PRK DUN itu semalam, dengan majoriti 10,945 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Shamsul Ridzuan Idris di pusat penjumlahan undi di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini.

Shamsul Ridzuan berkata sebanyak 68.40 peratus pengundi keluar mengundi pada PRK itu dengan 327 kertas undi ditolak.

Keputusan malam tadi turut menyaksikan seorang lagi calon bebas, S. Santharasekaran hilang deposit kerana gagal memperoleh lebih daripada 1/8 jumlah undi yang diterima oleh calon-calon bertanding.

Daftar pemilih DUN Slim melibatkan 22,749 pemilih biasa, 267 pengundi awal serta 78 orang mengundi secara pos.

Sepanjang proses pengundian dari 8 pagi hingga 5.30 petang, pematuhan garis panduan pencegahan COVID-19 dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan dan saringan suhu badan.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim selama empat penggal, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dari BN yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai.

Pada PRU14, Mohd Khusairi menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

PRK DUN Slim merupakan PRK ke-12 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRK kedua dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19, selepas PRK DUN Chini pada 4 Julai lepas.