SLIM RIVER, 29 Ogos -- Pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim hari ini menyaksikan kekecohan setelah beberapa pengundi tiba di pusat mengundi dengan memakai seluar pendek namun tidak dibenarkan masuk.

Ini berlaku di pusat pengundian di SK Aminuddin Baki, di sini, dengan beberapa pengundi dilihat mengoyak kad maklumat pemilih yang diberikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana berasa marah.

"Kami telah mengundi sembilan kali sebelum ini dan kami tidak pernah dihentikan untuk mengundi. Kali ini, kami tidak dibenarkan masuk kerana kami memakai seluar pendek, tetapi kami sebelum ini juga memakai seluar pendek dan dibenarkan masuk.

"Sekiranya begini, saya tidak mahu mengundi," kata seorang warga emas, yang hanya mahu dikenali sebagai Yong, ketika meninggalkan pusat pengundian.

Seorang lagi pengundi lain, yang tidak mahu dikenali, juga menyuarakan kekecewaannya kerana tidak dibenarkan mengundi, juga disebabkan memakai seluar pendek.

"Saya mahu pergi bekerja, jadi saya datang awal untuk mengundi. Tetapi sekarang saya tidak dibenarkan masuk,” kata pengundi, yang sudah berbaris sejak pukul 7 pagi.

Seorang ejen parti menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan pegawai untuk tidak membenarkan pengundi ini masuk, dengan mendakwa bahawa hampir 10 pengundi telah meninggalkan pusat tersebut setelah mereka kecewa.

"Mereka marah kerana tidak dapat masuk mengundi. Sebelum ini mereka dapat tetapi hari ini mereka tidak dapat. Kasihanilah mereka,” kata ejen itu.

Sementara itu, beberapa ejen parti mencari pengundi ini dan berusaha meyakinkan mereka untuk kembali ke pusat mereka untuk mengundi.

Setelah dipujuk, ada di antara mereka akhirnya dibenarkan masuk, sementara ada yang kembali memakai seluar panjang untuk mengundi.

Terdapat sebanyak 23,094 pengundi berdaftar di DUN Slim.

PRK kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dan calon bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Santhara Sekaran Subramaniam.