KOTA BHARU, 1 Ogos -- Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika penularan wabak COVID-19 masih berlaku akan berlaku melibatkan perbelanjaan besar malah berkali ganda.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berdasarkan gambaran diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kos PRN itu melibatkan peningkatan dua kali ganda mencecah ratusan juta.
"Pilihan raya yang diadakan pasca COVID-19 ini akan melibatkan peruntukan yang lebih tinggi.
"Saya difahamkan oleh SPR bahawa kos untuk, misalnya dakwat, untuk celup jari pengundi tu saja pun...saya difahamkan tak boleh digunakan dengan cara yang biasa.
"Dulu, celup, celup kan...sekarang ni ada kaedah lain...mungkin menggunakan banyak dakwat.
"Kemudian, proses untuk sanitasi...untuk menyediakan tempat penjarakan dan sebagainya...dan mungkin memakan masa yang lama...masa yang panjang...libatkan elaun-elaun..pun bertambah.
"Jadi, kita melihat memang, kita terpaksa menambahkan peruntukan untuk pilihan raya pasca COVID-19 ini," katanya.
Beliau menjelaskan perkara berkenaan PRN itu akan dibincangkan secara khusus pada Isnin, jam 10 pagi di Parlimen yang turut membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, perbincangan itu adalah bagi memastikan perjalanan pilihan raya berjalan lancar dan mengelakkan pertambahan kes COVID-19 atau kluster baharu di Sabah.
Beliau memberitahu PRN Sabah tidak dapat dielakkan dan perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari kerana ianya telah termaktub dalam Perlembagaan Sabah dan Persekutuan selepas DUN dibubarkan.
Takiyuddin ditemui pemberita selepas agihan daging korban Parlimen Kota Bharu pada Sabtu.