MAKKAH, 1 Ogos -- Raja Arab Saudi, Raja Salman meraikan kejayaan musim haji yang terhad kali ini sambil berharap hari raya Aidiladha akan menjadi titik tolak berakhirnya pandemik COVID-19.

Baginda turut memuji usaha semua pihak bagi memastikan perjalanan haji tahun ini terus selamat bagi sekitar 10,000 jemaah yang terpilih.

Terdiri daripada 30 peratus warga Arab Saudi dan lagi 70 peratus rakyat dari 160 buah negara yang tinggal dan bertugas di Arab Saudi, para jemaah haji kali ini mengerjakan semua ibadat mengikut protokol kesihatan yang tinggi.

Pihak berkuasa Arab Saudi juga mengumumkan tiada sebarang kes COVID-19 dalam kalangan jemaah haji kali ini.

Sehingga Sabtu, jumlah kes positif COVID-19 di Arab Saudi mencatatkan lebih 278,000 kes dan lebih 2,000 kematian.

Selepas "tahlul awal" pada Jumaat, para jemaah haji perlu melakukan lontaran ketiga-tiga buah jamrah di Mina hari ini.

Untuk memastikan kebersihan, pihak berkuasa menyediakan batu yang telah dipastikan bebas kuman untuk ibadat melontar.

Ibadat melontar juga dijalankan dengan teratur dengan langkah-langkah penjarakan sosial diutamakan kali ini.

Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengerahkan 8,000 orang termasuk kakitangan jagaan kesihatan dan pasukan sokongan untuk membantu para jemaah haji.

Enam buah hospital, 51 klinik kesihatan dan 200 buah ambulans tersedia di beberapa tapak lokasi sepanjang perjalanan haji tahun ini.

62 pasukan di lapangan juga menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas para jemaah haji, 24 jam sehari.