TAMPA, 1 Ogos -- Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun berasal dari Florida, Amerika Syarikat menjadi dalang dalam penggodaman akaun selebriti di Twitter, menurut pihak berkuasa.
Seorang remaja Britain berusia 19 tahun dan lelaki berusia 22 tahun di Orlando, Florida juga didakwa di bawah undang-undang persekutuan AS kerana bersubahat dalam serangan itu, kata Jabatan Kehakiman.
Seorang pendakwa di Florida mengenal pasti remaja berusia 17 tahun itu dengan nama Graham Clark dari Tampa dan mendakwa remaja itu sebagai orang dewasa dengan 30 tuduhan penipuan.
"Dia adalah seorang remaja berusia 17 tahun yang baru tamat pengajian dari sekolah menengah," kata Peguam Negeri Florida, Andrew Warren.
"Ini bukan seorang remaja yang biasa."
Mason Sheppard, berusia 19 tahun dari Bogner Regis, Britain yang menggunakan nama samaran Chaewon, dituduh melakukan penipuan wayar dan pengubahan wang haram.
Manakala, Nima Fazeli, 22, atau Rolex, yang tinggal di Orlando, dituduh bersubahat dengan jenayah tersebut, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman.
Twitter berkata mereka amat menghargai tindakan pantas penguatkuasaan undang-undang.
Clark dan sekutunya berada dalam tahanan, menurut pihak berkuasa.
Dalam penggodaman tersebut, tweet palsu yang meminta pelaburan dalam mata wang digital bitcoin telah disiarkan pada pertengahan Julai oleh 45 akaun Twitter (disahkan/verified).
Penggodaman itu turut dilakukan terhadap akaun bekas presiden AS, Barack Obama dan jutawan terkenal, Bill Gates, calon presiden Demokrat, Joe Biden dan Ketua Eksekutif Tesla, Elon Musk.
Pengasas StopSIMCrime, Robert Ross, sebuah organisasi yang memerangi teknik penggodaman popular, menganggap kes itu menunjukkan kehebatan seorang remaja dalam mengalahkan keselamatan korporat.
"Kumpulan remaja melakukan ini secara beramai-ramai.
"Ini benar-benar merupakan risiko keselamatan negara," katanya.