KUALA LUMPUR, 5 Ogos -- Alasan ahli Parlimen bebas untuk mengucapkan terima kasih kepada Perikatan Nasional (PN) menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat hari ini, dengan seorang ahli parlimen pembangkang menimbulkan persoalan mengenai rasuah.
Jugah Muyang (Bebas-Lubok Antu) telah mengucapkan terima kasih kepada menteri pembangunan luar bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad kerana telah menambah peruntukan pembangunan di kawasannya.
“Terima kasih YB Datuk Menteri kerana telah meluluskan beberapa projek di kawasan parlimen Lubok Antu. Saya, mewakili rakyat, mengucapkan terima kasih kepada Datuk Menteri.
"Dan inilah...sebab itulah saya mengalihkan sokongan saya kepada PN untuk mendapatkan peruntukan yang lebih bayak di kawasan saya yang masih ketinggalan dari segi pembangunan,” katanya.
Setelah mendengar ini, RSN Rayer (PH-Jelutong) telah bangun dan meminta penjelasan daripada Speaker, Datuk Azhar Azizan Harun, kerana beliau merasakan Jugah tidak harus menggunakan kata-kata seperti itu.
"Dan ini pula ada sokongan backbencher yang mengatakan disebabkan oleh projek-projek kawasan, beliau mengalihkan sokongan. This a Dewan Rakyat. And they openly talking about. Ini adalah salah guna kuasa, rasuah. What is all this, Tuan Speaker?" kata Rayer.
Rayer bertanya lagi adakah bahasa-bahasa tersebut dibenarkan di Dewan Rakyat.
"Rakyat sedang melihat!" tambahnya.
Walau bagaimanapun, Azhar berkata, Jugah hanya memberi ucapan terima kasih kerana peruntukan pembangunan di kawasannya telah dinaikkan.
Kedua-dua pihak kemudian berusaha untuk memberikan alasan yang kuat bagi kenyataan mereka dan mendorong Speaker untuk menutup mikrofon.
“Beliau (Jugah) tak kata beliau sokong PN dengan tujuan setelah diberikan peruntukan lebih, dia tak kata begitu," kata Azhar.
Azhar berkata Rayer mungkin telah memahami secara berbeza.
Jugah ialah bekas ahli parlimen PKR. Beliau keluar parti itu pada 6 Jun dan mengemukakan akuan berkanun (SD) untuk menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebelum bergabung dengan PKR.