Saya keluar kerana Warisan masih sokong Dr M - Kenny


KUALA LUMPUR, 3 Ogos -- Seorang ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang baru-baru ini dipecat oleh PKR kerana menyokong bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata tindakannya itu disebabkan oleh sokongan Warisan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

ADUN Inanam, Kenny Chua, berkata hal itu juga didorong kesetiaannya kepada presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan, Chua berkata beliau memutuskan untuk "berpisah" dengan kerajaan pimpinan Warisan setelah beliau mengesahkan sokongannya terhadap bekas perdana menteri itu dan kesediaannya untuk mempertimbangkan mengubah perlembagaan parti itu untuk membolehkannya bergabung dengan parti tempatan.

"Ia bertentangan dengan prinsip saya untuk dalam kerajaan negeri yang ditadbir Warisan yang terang-terangan menyatakan sokongannya kepada Dr Mahathir.

"Disebabkan sokongan terhadap Dr Mahathir itu, saya sebagai salah seorang anggota pentadbiran negeri dan sebagai Naib Presiden PKR Sabah seringkali disoal oleh orang ramai dan juga penyokong PKR di Sabah.

"Saya memahami sentimen negatif yang disuarakan kebanyakan rakyat Sabah terhadap Dr Mahathir sehingga ke hari ini, berpunca daripada apa yang telah dilakukannya di negeri ini sebelum ini," jelasnya.

Pada Khamis, PKR memecat Chua setelah beliau bertemu dengan Musa, yang mendakwa beliau mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Ketua jawatankuasa disiplin parti, Ahmad Kasim, berkata keputusan untuk memecat Chua dibuat setelah mereka mengesahkan kehadirannya dalam blok "berusaha menjatuhkan kerajaan negeri Sabah".

Chua juga berkata sikap Warisan terhadap sekutunya termasuk DAP dan UPKO juga menjadi alasan beliau keluar kerajaan negeri.

"Sebelum Warisan tertubuh, kami PKR dan DAP telah berjuang melawan kerajaan Persekutuan.

"Selepas Warisan ditubuhkan, pada pilihan raya umum lepas (PRU14), mereka datang kepada kami meminta sokongan agar dapat memperoleh kerusi majoriti dan kami telah korbankan kerusi tradisi kami kepada mereka," katanya.

Beliau juga menolak tuduhan bahawa beliau ditawarkan sejumlah besar wang untuk berpaling tadah, sambil menambah bahawa pihak berkuasa boleh menyiasat perkara itu.

"Mereka boleh periksa akaun bank saya jika mereka mengesyaki saya telah ditawarkan berjuta-juta," katanya.