KUALA LUMPUR, 18 Ogos -- Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata beliau tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan mengenai hantaran Facebook yang dibuat oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dalam satu hantaran FB semalam, Najib (BN-Pekan) berkata pembangkang telah berusaha untuk menggagalkan belanjawan prihatin kerajaan untuk menyelamatkan ekonomi dari krisis COVID-19.
Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menuduh Najib memperdaya orang ramai mengenai isu tersebut.
Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) berkata hal ini menunjukkan bekas perdana menteri tidak tahu RUU apa yang beliau undi semalam.
Sementara itu, Hannnah Yeoh (PH-Segambut), yang menjadi sasaran Najib kelmarin, menuntut speaker memberikan keputusan terhadap Najib berhubung kenyataan yang mengelirukan.
Walau bagaimanapun, Azhar berkata beliau belum membaca apa yang ditulis Najib, tetapi peraturan mesyuarat Dewan Rakyat tidak memberinya kuasa atas perkara yang berlaku di luar parlimen.
"Apa kuasa saya untuk perbetulkan," soal beliau.
Hanipa Maidin (PH-Sepang) membantah hal ini, dan mendakwa speaker memiliki kuasa yang diperlukan itu.
Azhar kemudian meminta ahli parlimen Amanah itu menulis surat kepadanya untuk membuktikan bahawa beliau salah.
RUU semalam diluluskan dengan 111 undi menyokong berbanding 106 membantah secara pengundian blok.
