Singapura rai Hari Kebangsaan ke-55 dalam format berbeza

SINGAPURA, 9 Ogos -- Singapura hari ini menyambut ulang tahun kemerdekaannya ke-55.

Walau bagaimanapun, disebabkan pandemik COVID-19, perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) pada hari ini, ia tidak dalam format tradisi biasa, menurut Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen.

Dr Ng berkata, adalah tidak mungkin untuk mengadakan NDP dalam format biasa, di mana ribuan peserta berlatih untuk berbulan dan dengan lebih ramai lagi yang berhimpun untuk menyaksikannya di Floating Platform di Marina Bay atau Padang.

Menteri itu menyatakan NDP akan dibawakan terus ke rumah-rumah seluruh rakyat Singapura, di keseluruhan pulau itu.

"... itulah konsep NDP 2020," katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan kali ini akan memperlihatkan banyak segmen perbarisan dipindahkan ke pusat bandar dan disiarkan di televisyen serta platform internet.

Laporan itu menyebut, buat pertama kali acara biasa seperti terbang lintas lalu bendera Singapura, pertunjukkan jet pejuang F-15SG, terjunan bebas (payung terjun) Red Lions dan perbarisan kenderaan, akan diadakan dilokasi berbeza di pulau tersebut.

Laporan itu menyebut pertunjukan itu juga akan memberikan pengiktirafan kepada petugas barisan hadapan menentang COVID-19, dan menambah 'Together, A Stronger Singapore' sebagai tema sambutan tahun ini.

Sementara itu, seramai 5,471 individu diumumkan sebagai penerima Anugerah Hari Kebangsaan 2020 bagi menghargai sumbangan mereka kepada negara itu.

Anugerah tertinggi tahun ini, iaitu Darjah Utama Temasek (Dengan Kepujian Tinggi) diberikan kepada Penasihat Guaman Kanan bagi Menteri Ehwal Luar, Prof S Jayakumar.

Anugerah Kedua tertinggi tahun ini pula, iaitu Darjah Utama Bakti Cemerlang diberi kepada dua individu.

Salah seorang ialah Pengerusi Persatuan Kanak-Kanak Singapura, Koh Choon Hui. Seorang lagi ialah ahli akademik terkemuka Prof Wang Gungwu yang juga bekas Pengerusi tiga badan pengkaji: ISEAS - Institut Yusof Ishak, Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew di NUS dan Institut Asia Timur juga di NUS.

Seramai 96 individu berbangsa Melayu dan beragama Islam juga dianugerahi pelbagai Anugerah Hari Kebangsaan meliputi Bintang Bakti Masyarakat (Lintang), Bintang Bakti Masyarakat, Pingat Pentadbiran Awam (Perak), Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa), Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa)(Tentera), Pingat Kepujian, Pingat Penghargaan (Tentera) dan Pingat Bakti Masyarakat.

Presiden, Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Izzuddin Taherally Sarewalla, adalah penerima tertinggi dalam kalangan penerima Melayu Islam. Beliau dianugerahi Bintang Bakti Masyarakat (Lintang), iaitu anugerah keempat tertinggi dalam Anugerah Hari Kebangsaan tahun ini.