BAU, 29 Ogos -- Parti politik yang memainkan sentimen kaum dan agama mesti disingkirkan dan diketepikan agar perpaduan rakyat Sarawak kekal erat, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Abdullah Saidol.

Sambil berkata memainkan isu kaum dan agama bukan cara di Sarawak untuk meraih sokongan politik, beliau menambah kebencian dan fitnah yang melampau tidak harus wujud dalam sanubari rakyat negeri ini yang terkenal dengan semangat perpaduan tinggi.

“Kerajaan Negeri yang ditadbir Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat menitikberatkan perpaduan kaum dan agama, sebagai bukti, Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) ditubuhkan demi menjaga keperluan rakyat beragama Kristian, Buddha dan agama lain.

"Hanya Sarawak yang ada UNIFOR, tidak ada di negeri-negeri lain. Menerusi UNIFOR, rakyat dapat memohon membina atau menaiktaraf chapel, gereja dan rumah ibadat lain,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Kenyalang Gold Card Peringkat Dewan Undangan Negeri Serembu dan Perasmian Dewan Serbaguna Kampung Puak, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh.

Abdullah dan Miro merasmikan Dewan Kampung Puak yang baharu. Turut kelihatan, Pegawai Tadbir Negeri Pejabat Daerah Bau Hairol Nizam Morshidi.

Abdullah dan Miro merasmikan Dewan Serbaguna Kampung Puak yang baharu. Turut kelihatan, Pegawai Tadbir Negeri Pejabat Daerah Bau Hairol Nizam Morshidi.

Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri menitikberatkan pembangunan di luar bandar. Menerusi Belanjawan Negeri 2019 dan 2020, kira-kira 70 peratus dana diperuntukan untuk pembangunan. Daripada jumlah dana pembangunan ini, 70 peratus disedia untuk melaksanakan program-program pembangunan di luar bandar.

Kerajaan Negeri, mempunyai hala tuju yang jelas iaitu melaksanakan pembangunan menyeluruh, agar jurang kemajuan di bandar dan luar bandar tidak begitu besar. 

Katanya, hak dan kepentingan Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan merupakan antara teras utama dalam perjuangan GPS di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Perjuangan bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem tentang hak dan kepentingan Sarawak kini dipikul oleh Abang Johari, dan amanah ini amat berat, katanya.

“Memetik kata-kata Ketua Menteri, amanah ini bukan biasa tetapi ia wasiat yang mesti ditunaikan, iaitu memastikan anak-anak Sarawak mampu berdikari, mampu mentadbir negeri sendiri dan lantang menyuarakan hak berlandaskan Perlembagaan,” katanya.

Sambil menegaskan, ini bukan bermakna ingin keluar dari Malaysia, beliau menjelaskan Sarawak tidak menuntut hak lebih dari yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.

GPS berjuang demi mempertahankan hak dan kepentingan Sarawak, juga sedaya upaya mengembalikan hak yang terhakis.

Justeru, beliau meminta rakyat agar memberi mandat kepada GPS untuk mentadbir negeri ini. 

“Kita tidak memberi janji yang melampau, tetapi kita janji ialah kesungguhan kita bekerja, yang kita berani janji dalam GPS ialah setiap hak dan kepentingan negeri terjaga dan kita juga berjanji bahawa setiap wakil rakyat harus rajin, itu penting,” katanya.