PUTRAJAYA, 3 Sept -- Bekas pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa berlaku rasuah pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim baru-baru ini, serta ada gambar berkaitan.
Beliau mendakwa rasuah diberi kepada pengundi dalam usaha memujuk mereka mengundi calon tertentu.
“Kita tahu banyak mana duit yang digunakan. Kita tahu mereka bawa pengundi menaiki van, di dalam van berkenaan itu diberikan duit.
“Kita tahu, mereka ambil gambar dan selepas undian dibuat, mereka tunjukkan jari bahawa sudah mengundi dan tunjukkan kepada orang Barisan Nasional (BN), wang selebihnya akan diberikan.
“Inilah yang diberitahu kepada kami. Ada gambar,” katanya pada sidang media, hari ini.
Calon BN, Mohd Zaidi Aziz mengekalkan kerusi DUN Slim selepas menang dengan majoriti besar 10,945 apabila memperoleh 13,060 undi menewaskan 2 calon bebas, iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (2,115 undi) dan Santhara Sekaran Subramaniam yang memperoleh 276 undi.
Mahathir berkata, tidak dinafikan beliau sendiri sudah menjangka calon bebas disokongnya akan kalah, namun memberitahu tidak boleh menerima jumlah kekalahan yang dialami, seperti mana diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Kita tahu keputusan di PRK DUN Slim kita jangka untuk kalah tetapi tidak sebanyak itu. Untuk kita fikirkan pengundi akan sokong disebabkan ada individu yang didapati bersalah, saya tidak boleh terima. Apa yang orang lupa adalah dia curi duit kerajaan, duit kerajaan adalah duit kita.
“Untuk katakan orang yang mencuri boleh ketuai kerajaan adalah mengarut. Kita tahu dia mencuri berbilion ringgit, jadi kita kata apa hendak malu, dia ‘bos’ kita. Mereka ubah sistem, melihat mencuri bukan sebagai perkara tidak baik.
“Adakah kita perlukan Robin Hood, mencuri untuk berikan kita duit dan berikan kepada orang miskin, 99% wang dicuri akan masuk dalam poket, manakala 1% lagi masuk kepada rakyat miskin,” katanya.