KOTA KINABALU, 6 Sept -- Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH) parti itu masih parti terbesar selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dan tidak sewajarnya dianggap sebagai parti kecil di Sabah.
Anwar berkata, tidak dinafikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu prestasi PKR kurang memuaskan, namun sejak itu keahlian, kegiatan dan kekuatan parti yang ditubuhkan pada 1999 itu semakin bertambah dari semasa ke semasa.
“PKR parti terbesar selepas pilihan raya di Parlimen dalam kalangan PH, jangan lupa, jangan anggap parti kita ini kecil. "Memang prestasi kita dahulu di Sabah, pilihan raya negeri kurang memuaskan namun sejak itu keahlian, kegiatan dan kekuatan itu bertambah.
“Jadi, kepada rakan pimpinan penerangan di Sabah, kalau lihat beberapa kegiatan sejak beberapa minggu lalu, saya ucap terima kasih kerana tunjuk ada kekuatan besar di Sabah,” katanya dalam majlis jelajah penerangan Sabah hari ini.
Pada PRU14, Barisan Nasional (BN) memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Warisan memenangi 21 kerusi. Bagaimanapun DAP dan PKR masing-masing memenangi 6 dan 2 kerusi sahaja.
Kerusi DUN dimenangi PKR hanya di Api-Api dan Inanam. Bagaimanapun, PKR kini hanya mempunyai 1 kerusi selepas wakil rakyat mereka di Inanam, Kenny Chua dipecat daripada parti itu kerana menyokong Tan Sri Musa Aman sebagai ketua menteri pada Julai lalu.
Anwar berkata, selepas beberapa analisis dilakukan dalam perjumpaan awal di Sabah, tidak ada parti lain setakat ini yang melakukan siri perjumpaan dalam masa terdekat ini. Baginya, ia adalah perjumpaan yang penuh bermakna.
“Mengapa kita mahu bersama di sini, kerana kita mahu perubahan. Jangan lupa, kita mesti masuk bertarung untuk menang dalam pilihan raya negeri kali ini,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September ini sebagai tarikh PRN DUN Sabah. Hari penamaan calon ditetapkan 12 September, manakala hari mengundi awal pada 22 September.