KUALA LUMPUR, 5 Sept -- Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad diminta menghentikan fitnah terhadap bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein semata-mata untuk mempertahankan amalan nepotisme dalam politik.
Anak Allahyarham, Datuk Seri Najib Razak berkata, perjalanan politik beliau adalah sama sekali tidak sama dengan apa yang dilalui oleh anak Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
“Untuk makluman Tun M, saya tak masuk politik, tak masuk parti politik dan tak aktif dalam politik sebelum ayahanda saya meninggal dunia.
“Hanya selepas ayahanda saya pergi, saya diminta oleh parti UMNO untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) untuk menggantikan ayahanda,” katanya dalam hantaran Facebook beliau semalam.
Dalam sidang media Rabu lepas, Mahathir menyamakan penglibatan anaknya Mukhriz dalam politik dengan anak-anak tokoh-tokoh politik lain termasuk Allahyarham Tun Abdul Razak dan bekas Pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh.
Ahli Parlimen Langkawi itu turut menafikan dakwaan Pejuang ditubuhkan semata-mata untuk mengangkat anaknya menjadi Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Najib juga mendakwa Mahathir berbohong apabila menyatakan beliau tidak membenarkan anak-anaknya terlibat dalam politik dan meniaga di negara ini.
Beliau menjelaskan, Mukhriz menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Merbok, Timbalan Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO dan Bendahari UMNO Kedah semasa bapanya menyandang jawatan Perdana Menteri.
“Ketiga-tiga anak dia juga banyak meniaga dalam Malaysia semasa dia jadi PM dan memiliki lebih satu dozen syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia,” katanya.