KOTA KINABALU, 10 Sept -- Beberapa pemimpin PKR Sabah dilaporkan meninggalkan dewan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah ketika Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan calon dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi parti itu dan sekutunya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada hujung bulan ini.
Memetik laporan Malaysiakini, sekumpulan pemimpin PKR itu dilihat ‘gelisah’ seperti ‘tidak senang duduk’ ketika Shafie mengumumkan jumlah kerusi yang ditandingi PKR.
PKR sebelum ini memutuskan untuk bertanding 14 kerusi namun beberapa pemimpin bingung apabila baki kerusi yang diperuntukkan untuk parti itu hanyalah tujuh kerusi berbanding sasaran asal.
Pemimpin PKR itu kemudian dilihat meninggalkan dewan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini selepas berbincang dengan Ketua PKR Sabah Datuk Christina Liew.
Semalam, PKR mengumumkan akan bertanding di 14 kerusi termasuk empat daripada 13 kerusi baru yang diperkenalkan iaitu Segama, Limbahau, Sungai Manila, dan Pintasan namun akhirnya dibolot semua oleh Warisan.
Tujuh kerusi yang diberikan untuk ditandingi PKR adalah Api-Api, Inanam, Tempasuk, Tamparuli, Matunggong, Klias, dan Sook.
Memetik laporan sama, selepas perwakilan dari PKR dan Christina keluar dari dewan tersebut, wartawan kemudian menyusuri beliau untuk mendapatkan penjelasannya.
Beliau bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen dan berkata bahawa beliau ingin ke tandas, namun tinjauan mendapati beliau dan pimpinan PKR lain tidak kembali ke dewan tersebut.
Apabila calon pilihan raya yang diumumkan diminta naik ke atas pentas untuk sesi bergambar, Christina tidak kelihatan.
Dalam perkembangan berkaitan, DAP dan Amanah dikatakan tidak mempunyai sebarang masalah dengan kerusi yang diberikan untuk PRN Sabah dan akan bertanding menggunakan logo Warisan.
Sementara itu, Shafie ketika mengulas pembahagian kerusi itu berkata, semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dahulu PKR sudah diberikan banyak kerusi namun hanya menang dua sahaja di negeri itu.
“Ini bukan masa untuk kita memberikan kerusi, ini masa untuk kita memenangi pilihan raya.
“Ia bukan soal: ‘Oh, parti kami akan dipandang rendah kalau kami dapat jumlah yang lebih kecil’.
“Bukan soal maruah parti yang jadi keutamaan kita. Maruah untuk kita menang pilihan raya yang lebih penting,” katanya.