JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir
di negeri ini meningkat kepada 707 orang membabitkan 164 keluarga malam tadi,
berbanding 227 orang daripada 47 keluarga, pada sebelah petang.
Bernama melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa
Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, sebanyak 10 pusat
pemindahan sementara (PPS) dibuka di Muar, Tangkak serta Pontian.
"Pontian menjadi daerah terbaharu dilanda
banjir apabila PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Penerok dibuka pada pukul 7.00
malam tadi, menempatkan 43 orang daripada 12 keluarga dari Kampung Penghulu
Bakar, Jalan Makan serta Kampung Sungai Buntu," katanya menerusi
kenyataan, malam tadi.
Katanya 143 orang daripada 30 keluarga di Muar
kini berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Maharani; SMK Dato'
Sri Amar Diraja (48 orang, 12 keluarga); SMK Sungai Abong (56 orang, 12
keluarga); SMK Tengku Mahkota (70 orang, 15 keluarga); SK Sungai Raya (45
orang, 14 keluarga) manakala SK Parit Keroma (78 orang, 19 keluarga).
Beliau berkata di Tangkak pula, seramai 224 orang daripada 50 keluarga berada di SK Parit Bunga, SK Tanjung Gading 5 dan Dewan Serbaguna Penghulu Long.