KKM kesan dua lagi kluster baharu

KUALA LUMPUR, 30 Ogos -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti dua lagi kluster baharu yang telah menjangkiti empat individu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster pertama yang dikenal pasti merupakan kluster MV Glen di Selangor dan kluster Telaga di Kedah.

Bagi kluster MV Glen, Dr Noor Hisham menjelaskan ia dikesan di sebuah kapal di Pelabuhan Klang, Selangor.

"Kes indeks bagi kluster tersebut merupakan kes import yang melibatkan satu bukan warganegara.

"Manakala kes kedua merupakan kes tempatan yang melibatkan satu warganegara Malaysia yang merupakan agen yang dilantik oleh syarikat perkapalan.

"Kes positif telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan diberi rawatan," katanya.

Susulan itu, kata Dr Noor Hisham, aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan.

"Sehingga 30 Ogos, sejumlah lapan orang telah disaring dalam kluster ini.

"Daripada jumlah ini, dua kes dikesan positif COVID-19 dan enam individu adalah negatif," katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa pentingnya saringan kesihatan sign-on dan sign-off kapal bagi mengelakkan penularan COVID-19 ke dalam negara.

"Ini merupakan salah satu kawalan sempadan antarabangsa yang dijalankan bagi mengekang aliran kemasukan individu yang berpontensi dijangkiti COVID-19 ke dalam negara. Justeru, kawalan ini perlu terus dipertingkatkan bagi mengelakkan penularan penyakit COVID-19," jelas beliau.

Manakala, bagi kluster Telaga di Kedah, Dr Noor Hisham berkata kes merupakan kontak rapat kepada kes indeks yang dikesan positif pada 24 Ogos lalu iaitu kes ke-9284.

"Kes tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk diberi rawatan.

"Kedua-dua kes ini merupakan petugas kesihatan di hospital tersebut namun tugasan tidak melibatkan jagaan kes yang disahkan positif COVID-19," jelasnya.

Susulan itu, saringan COVID-19 telah dijalankan dan sehingga tengah hari ini, sejumlah 374 orang telah disaring dalam kluster ini melibatkan ahli keluarga, kakitangan hospital dan lain-lain.

"Daripada jumlah ini, dua kes dikesan positif COVID-19 dan 372 individu adalah negatif," katanya lagi.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa pihaknya akan melakukan lebih banyak saringan tertumpu di hospital sebagai langkah kawalan.

"Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti pembersihan dan proses nyah kuman juga telah dijalankan di premis yang berkaitan," katanya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, perkhidmatan Hospital Sultanah Bahiyah tidak terjejas dan tetap berjalan seperti biasa.

"Punca jangkitan masih dalam siasatan namun besar kemungkinan ianya disyaki berpunca dari kalangan komuniti," kata beliau.