KUALA LUMPUR, 29 Julai ㅡ Polis mengesyaki Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low telah bersembunyi di Macau, di sebalik usaha membawa pulang ahli perniagaan dikehendaki itu untuk dibawa ke muka pengadilan atas peranannya berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Ada petunjuk kuat yang dia ada di sana,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Hamid pada Februari berkata pihaknya mendapat maklumat yang Jho Low berada di Wuhan.

Semalam, Mahkamah Tinggi berkata Jho Low memainkan peranan penting dalam pemindahan dana RM42 juta daripada bekas unit 1MDB ke akaun bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib didapati bersalah atas 7 tuduhan dalam perbicaraan itu dan berdepan hukuman 12 tahun penjara, serta denda RM210 juta.

Namun, Hakim Nazlan Mohd Ghazali memutuskan bahawa pihak pembelaan berjaya membuktikan keadaan istimewa untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda sebanyak RM210 juta itu.

Jumlah ikat jamin sebanyak RM1 juta juga sudah dibayar oleh Najib.