IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Khusairi Abdul Talib
meninggal dunia hari ini di Hospital Bentong selepas mengadu kesukaran
bernafas.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohammad ketika
dihubungi mengesahkan berita kematian itu.
Khusairi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (BERSATU) dan PAS dengan memperoleh majoriti 2,183 undi.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
mewakili kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham
Mohd Khusairi.
"Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada Perak dan
juga rakyat di kawasan DUN Slim serta UMNO Bahagian Tanjung Malim.
"Saya juga kehilangan seorang sahabat yang saya anggap sebagai saudara kandung sendiri. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, dihimpunkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga," katanya.