KUCHING: Ahli Parlimen Santubong merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyampaikan sumbangan sebanyak 68 ekor lembu kepada 55 kampung di Parlimen itu sempena sambutan Aidiladha.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Damai mewakili Wan Junaidi menyampaikan sumbangan itu yang bernilai kira-kira RM476,000 di Dewan Pusat Khidmat Parlimen Santubong di sini.
Sementara itu, dalam ucapannya Abdul Rahman mengingatkan masyarakat Islam yang ingin melakukan ibadah korban supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diputuskan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).
“Ia termasuk membuat pendaftaran jawatankuasa pengelola ibadah korban, mendaftar dengan Jabatan Veterinar dan mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“SOP ibadah korban yang dikeluarkan pada 10 Jun lepas masih tiada perubahan namun terdapat penambahbaikan terutama membabitkan bilangan peserta yang dibenarkan sewaktu melakukan ibadah itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman turut mengingatkan bahawa hanya dua lokasi yang dibenarkan untuk melakukan ibadah korban iaitu di rumah penyembelihan dan di perkarangan masjid atau surau.
“Kita tahu sebelum ini ramai yang melakukan penyembelihan di kawasan rumah, perkarangan pejabat, tetapi untuk tahun ini, kita tidak menggalakkan penyembelihan dilakukan di kawasan berkenaan,” katanya. - BERNAMA