KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada Jumaat, 31 Julai ini, demikian diumumkan Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Tuan Haji Mohd Aseral Jusman.
Beliau, bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berkata, tarikh itu telah diperkenankan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka, saya bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dengan ini mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah, 1441 Hijriah ialah pada 22 Julai 2020 Masihi.
“Oleh demikian, Hari Raya Korban (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Jumaat, 31 Julai 2020 Masihi,” menurutnya.
