KUALA
LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
berkata beliau amat mendukung kesemua usaha pakej rangsangan yang diumumkan
kerajaan termasuk Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Pakej
Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).
Bagaimanapun, menurut
Presiden PKR itu, pakej rangsangan itu perlu segera dibahaskan di Parlimen bagi
membolehkan ahli Dewan Rakyat mengemukakan hujah mereka.
"Pakej yang
disebutkan oleh perdana menteri masih belum ada dalam jadual, saya tak tahu
bila akan dibentangkan, kalau ikut jadual, belum ada.
"Saya sendiri
menyokong inisiatif oleh perdana menteri tapi kita kena bahas. Perdana menteri
bagi jaminan dan saya sambut baik, pada sesi ini juga akan dibentang supaya ia
dapat dibahas," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah
Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat.
Menyentuh isu COVID-19,
Anwar memuji tindakan Kementerian Kesihatan terutama Ketua Pengarah Kesihatan
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang saban hari menggalas tanggungjawab
memaklumkan perkembangan terkini pandemik itu dalam negara.
"Kita bersama
menyatakan penghargaan rakan-rakan di barisan hadapan kerana kesediaan mereka
menghadapi risiko COVID-19. Bila kita sebut barisan hadapan termasuk doktor dan
pakar, 'technician' dan pencuci juga jangan dilupa," katanya.
Justeru, beliau berharap mereka yang terlibat dalam bidang perkhidmatan seperti tukang cuci turut diberi insentif sewajarnya memandangkan golongan itu juga berkorban masa dan terdedah kepada risiko pandemik COVID-19.