ORANG ramai khususnya pencinta filem
dinasihatkan supaya tidak tertidur di dalam kenderaan dengan enjin terbuka
apabila menonton pawagam pandu lalu.
Public Health Malaysia dalam status di akaun
Facebook memaklumkan suhu di negara ini yang agak panas menyebabkan ramai yang
akan menghidupkan penyaman udara kenderaan masing-masing, walaupun kenderaan
tidak bergerak.
"Gas karbon monoksida yang bocor dari
ekzos boleh disedut masuk ke dalam kenderaan dan boleh menyebabkan keracunan
gas tersebut.
"Apa yang unik mengenai gas ini adalah
tidak berwarna dan tidak berbau, tahu-tahu sahaja anda telah pengsan (disangka
tidur)," katanya.
Dalam status yang sama, Public Health Malaysia turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan kenderaan masing-masing sentiasa diservis untuk keselamatan memandu.