KUALA LUMPUR: Bekas ketua pegawai eksekutif FGV Holdings
Bhd, Datuk Zakaria Arshad membuat keputusan untuk menyertai UMNO dan
mengumumkan keluar daripada Amanah.
Zakaria berkata, keputusan keluar
Amanah itu dibuat selepas melihat visi dan objektif parti diketuai Mohamad Sabu
itu tersasar dan tidak selari dengan pendiriannya pada ketika ini.
“Selepas memberi pertimbangan,
saya percaya UMNO yang merupakan komponen kerajaan Perikatan Nasional (PN)
adalah platform terbaik untuk saya memberikan sumbangan kecil kepada masyarakat
dan negara khususnya.
“Maka dengan ini saya mengumumkan
untuk keluar dari Amanah dan seterusnya menyertai UMNO sebagai ahli,” katanya
seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian, hari ini.
Dalam satu majlis di Pusat
Dagangan Dunia Putra (PWTC), borang keahlian Zakaria itu diserahkan kepada ahli
Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Ahmad Jazlan berkata, penyertaan
Zakaria itu diyakini akan memperkukuhkan lagi parti, berdasarkan pengalaman
Zakaria dalam pelbagai bidang sebelum ini.
“Kita mengalu-alukan sesiapa
sahaja yang hendak bersama UMNO. Kalau hendak memperkuatkan parti, kita
mestilah bersikap terbuka menerima sesiapa sahaja.
“Parti kita akan kuat bila kita diyakini orang ramai dan rakyat. Dengan sikap terbuka akan menjadikan orang kembali kepada UMNO,” katanya. – SuaraKini