KUALA LUMPUR, 31 Julai -- Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan satu kematian baharu berkaitan COVID-19.
Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di negara adalah sebanyak 125 kes.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit yang meninggal dunia itu ialah seorang warganegara Filipina berusia 64 tahun yang mempunyai sejarah penyakit jantung.
"Beliau mempunyai gejala demam, batuk dan sesak nafas pada 25 Julai namun tidak mendapatkan rawatan.
"Pada 29 Julai, beliau ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah di mana beliau telah disahkan meninggal dunia.
"Ujian saringan menunjukkan beliau adalah positif COVID-19," kata Dr Noor Hisham.
Dalam pada itu, beliau juga mengumumkan 12 kes baru COVID-19.
Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara adalah sebanyak 8,976 kes.
"Ingin dimaklumkan daripada 12 kes baharu yang dilaporkan, lima kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.
"Lima kes import tersebut adalah dari negara Indonesia, Qatar dan United Kingdom.
"Daripada tujuh kes penularan di dalam negara, lima kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan dua kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia," katanya.
Dua daripada kes penularan di dalam negara adalah dari kluster PUI Sivagangga di Kedah.
"Sehingga 31 Julai, jam 12 tengah hari, sebanyak 262 orang telah disaring.
"Daripada jumlah ini, lapan kes dikesan positif COVID-19, 251 negatif; dan tiga masih menunggu keputusan," menurut Dr Noor Hisham.
Sementara itu, sebanyak 27 kes telah pulih pada hari ini.
Ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih daripada COVID-19 adalah sebanyak 8,644 kes.
Tiga pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dan daripada jumlah tersebut, seorang pesakit memerlukan bantuan pernafasan.