PUTRAJAYA: Sembilan kes baru COVID-19 dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kes aktif meningkat kepada 96.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, 5 pesakit pulih direkodkan semalam menjadikan jumlah pesakit sembuh setakat ini 8,546 orang.

Dengan tambahan kes baru, jumlah individu dijangkiti COVID-19 di negara ini adalah seramai 8,764.

Beliau berkata, hanya seorang pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tidak memerlukan alat bantuan pernafasan.

Angka kematian akibat COVID-19 kekal 122 orang susulan tiada kematian baru dilaporkan.

Kluster baru dikesan di Stutong, Sarawak, 2 djangkiti

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 1 kluster baru di sebuah pasar di Stutong, Sarawak yang kini sudah menjangkiti 2 individu.

Beliau berkata, kluster itu dikesan hasil saringan COVID-19 ke atas penjaja pasar tersebut yang dikenal pasti sebagai antara kumpulan sasar dalam pendekatan tertumpu.

“Sehingga 18 Julai 2020 jam 12 tengah hari, 218 orang penjaja disaring, membabitkan 213 warganegara Malaysia dan 5 bukan warganegara, iaitu 3 warga China; 1 warga Indonesia; 1 warga Vietnam.

“Daripada jumlah saringan ini, 56 orang telah disampel. Keputusan persampelan setakat ini, 2 kes dikesan positif COVID-19 dan 54 negatif,” katanya.

Pasar berkenaan ditutup buat sementara bagi pelaksanaan aktiviti pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman.

Punca jangkitan kluster tersebut masih dalam siasatan, katanya.