PUTRAJAYA: Satu kluster baharu dikesan melibatkan sebuah hospital di Kuching, Sarawak, dikenali sebagai ‘Kluster Sentosa', kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
Beliau berkata sehingga 12 tengah hari tadi, sebanyak 61 orang daripada kluster itu telah disaring dengan lima didapati positif COVID-19 manakala 56 adalah negatif.
“Kes pertama kluster ini (iaitu kes ke-8773) merupakan seorang petugas kesihatan yang telah mengalami gejala saluran pernafasan pada 13 Julai dan dikesan positif COVID-19 pada 19 Julai.
“Susulan itu, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif telah dijalankan. Kesemua kes ini sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di sini.
Dr Noor Hisham berkata perkhidmatan hospital tersebut masih diteruskan namun tidak lagi menerima pesakit dalam, manakala pesakit luar pula dirujuk ke hospital berdekatan untuk sementara waktu.
Langkah pembendungan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar sedang dijalankan, katanya.