KUCHING: Seorang menteri dari Sarawak mengkritik ketidaktentuan DAP negeri itu mengenai pemilihan calon perdana menteri jika Pakatan Harapan (PH) kembali menerajui kerajaan persekutuan.
Februari lalu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menyatakan sokongannya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri, tetapi kemudian membuat pusingan-U mengatakan parti itu akan menyokong Datuk Seri Mohd Shafie Apdal daripada Parti Warisan Sabah.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, DAP Sarawak berubah pendirian kerana ingin mengikut sentimen menyokong seseorang dari Borneo menjadi perdana menteri seterusnya dan berharap mendapat sokongan pengundi.
“Ia juga untuk menunjukkan sokongannya kepada DAP Sabah, yang berada dalam kerajaan Sabah sekarang,” katanya.
Beliau berkata, DAP pusat menyatakan sokongan kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri dan Chong menyambut baik kenyataan itu.
“Kini, pendiriannya berbeza. Dia memberikan sokongan kepada Shafie sebagai perdana menteri PH seterusnya. Ini menunjukkan sikap ‘sesumpah’ Chong.”
Karim menyifatkan pemimpin DAP Sarawak “keliru” dan tidak dapat memutuskan calon yang akan disokong.
Februari lalu, dalam majlis sambutan Anwar ke Sarawak, Chong berkata agenda utama parti adalah untuk Anwar menjadi perdana menteri seterusnya.
“Inilah sebabnya mengapa kami memutuskan untuk mengundang Anwar ke acara ini hari ini untuk menunjukkan sokongan kepadanya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau kemudian mengatakan DAP Sarawak akan menyokong Shafie, sambil menambah sebagai rakyat Malaysia Timur, tidak ada alasan mengapa mereka tidak harus menyokong sesama rakyat Malaysia Timur sebagai perdana menteri seterusnya.