Diarah pakai topeng muka, pelanggan tampar pekerja restoran


SATOK: Seorang pekerja restoran di Satok, Sarawak ditampar setelah beliau meminta sebuah pasangan yang merupakan pelanggan untuk memakai topeng muka sebelum memasuki restoran.

Dalam kejadian pada 15 Julai yang lalu, pasangan itu hendak memasuki restoran tetapi dinasihatkan untuk memakai topeng muka terlebih dahulu sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penyebaran COVID-19 memandangkan negeri Sarawak dilanda gelombang kedua wabak berbahaya itu.

Pasangan itu kemudian membuat kecoh, mendakwa bahawa restoran lain tidak mempunyai peraturan seperti itu, lapor Sin Chew Daily.

Kekecohan itu kemudian menarik perhatian termasuk dari pengunjung lain di restoran, menyebabkan seorang lelaki dari pasangan itu mula mengejek mereka. Pada ketika ini, seorang pekerja restoran yang lain bergegas keluar untuk menenangkan keadaan.

Namun, beliau ditampar oleh lelaki itu kerana "buat sibuk" sebelum pasangan itu meninggalkan restoran.

Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV).